Surau Al Hidayah

Sabtu, November 01, 2014

In order to view this object you need Flash Player 9+ support!

Get Adobe Flash player
Joomla! Slideshow

Masalah Harta Pusaka

Soalan

Assalamualaikum ustaz.... ibu saya telah meninggal dunia 2 tahun yg lalu, saya merupakan anak sulong dari 2 adik beradik lelaki. Arwah ibu saya telah meninggalkan harta dalam bentuk barang kemas dan sedikit wang simpanan. Persoalannya sehingga ke hari ini masih lagi belum diagihkan mengikut faraid kerana bapa saya berangapan harta tersebut telah menjadi hak milik sepenuhnya dan beranggapan memohon anak-anak untuk mengikhlaskan harta tersebut untuk perbelanjaan upah haji arwah. Saya telah cuba beberapa kali berbincang dgn bapa tentang pembahagian harta tersebut setelah mendapat nasihat daripada beberapa orang ustaz, tetapi bapa saya tetap dgn pendiriannya. Soalan saya ; 1. Bagaimanakah pengagihan harta tersebut? 2. Adakah wang tersebut boleh digunakan untuk urusan kenduri arwah dan upah haji? 3. Apakah hukum haji tersebut?

 

Jawapan

Assalamualaikum...terima kasih saudara yang bertanya.

 Apabila seseorang itu meninggal dunia, harta peninggalannya tergantung kepada lima perkara mengikut turutan.

Pertama - digunakan untuk menyelesaikan urusan jenazahnya seperti mandi, kafan dan kebumi.

Kedua - membayar hutang si mati samada hutang kepada manusia mahupun hutang kepada Allah SWT termasuk menyelesaikan gadaian atau harta yang dipinjamnya dari orang lain.

Ketiga - menunaikan wasiat si mati, jika beliau ada berwasiat dengan syarat tidak lebih daripada 1/3.

Keempat - menyelesaikan masalah harta sepencarian.

Kelima - membahagikan harta pusaka kepada waris-waris si mati.

Oleh itu, jika si mati masih belum menunaikan fardu haji sedangkan ia telahpun mempunyai kemampuan berbuat demikian, maka wajiblah diwakilkan kepada orang lain supaya menunaikan fardu haji bagi pihaknya dengan syarat pihak yang menjadi wakil itu telahpun menunaikan fardu haji.

 

Seorang perempuan dari Khas'am pernah bertanya Rasulullah SAW tentang kedudukan ayahnya yang sudah tua yang tidak mampu lagi menunaikan fardu haji, adakah beliau boleh menunaikan fardu haji bagi pihaknya. Ujar baginda SAW: Ya; (Hadis ini dikeluarkan oleh malik, Asy-Syafii, Asy-Syaikhain, Abu Dawud Dan Nissa'i). Dalam sebuah hadis yang lain menjelaskan seorang perempuan bertanya Rasulullah SAW tentang ibunya yang bernazar hendak menunaikan fardu haji tetapi belum sempat ia berbuat demikian, ia sudah meninggal, adakah boleh ia menunaikan fardu haji untuk ibunya itu. Rasulullah SAW memberi kebenaran kepada perempuan itu berbuat demikian.

Sehubungan dengan itu, wang simati hendaklah digunakan bagi menunaikan fardu haji bagi pihak arwah ibu saudara, kerana ibadat haji itu dikira hutang dengan Allah yang mesti dilangsaikan terlebih dahulu, kemudian yang selebihnya hendaklah dibahagikan sebagaimana dalam sistem pembahagian pusaka.

 

Mengenai keengganan ayah saudara untuk mengagihkan wang pusaka menurut sistem faraid, ulama bersepakat bahawa hukum al-faraid wajib diikuti iaitu membahagikan harta pusaka mengikut ketetapan lelaki akan menerima dua bahagian manakala perempuan satu bahagian sekiranya berlaku pertelingkahan walaupun daripada seorang ahli waris (yang layak menerima pusaka). Sebaliknya, jika ada kata sepakat (daripada semua pihak yang layak terima pusaka itu) maka mereka berhak membuat pilihan samada ingin mengikut hukum faraid ataupun pembahagian biasa. Kerana pada masa itu, tidak ada persengketaan bahkan mereka sebulat suara bersetuju.

 

Ada sebahagian ulama lain berpendapat, pembahagian harta pusaka mesti mengikut hukum al-faraid kerana ia adalah ketetapan Allah berkenaan pengurusan harta pusaka itu. Setelah dibahagi, dan  masing-masing menerima hak masing-masing, maka bolehlah pada masa itu sekiranya mereka ingin sedekahkan bahagian mereka kepada mana-mana ahli waris lain (atas kerelaan sendiri) kerana harta (bahagian) itu tadi adalah milik mereka. Terserahlah kepada mereka untuk menguruskannya.

 

Bagi tujuan pembahagian harta pusaka mengikut sistem faraid ini, saudara boleh merujuk dengan mana-mana Mahkamah Syariah di Malaysia yang diberi hak dan bidang kuasa untuk menentukan cara pembahagian harta pusaka kepada ahli waris menurut hukum Islam.

 

Sementara itu, dibolehkan menggunakan wang arwah untuk kenduri tahlil dengan syarat terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada semua ahli waris yang berkenaan. Sekiranya hal ini terjadi, perlu juga diingat bahawa hendaklah penggunaan wang atau harta pusaka itu tidak menjejaskan perkara-perkara wajib bagi si mati seperti menunaikan wasiat, zakat, hutang dan lain-lain. Walau bagaimanapun, mengadakan kenduri arwah dengan perbelanjaannya dari  harta pusaka si mati yang sebahagian dari perwarisnya belum baligh yang masih belum tiba masa  berhak menguruskan hartanya , maka hukumnya adalah haram kerana sesungguhnya terdapat larangan Allah yang menegah kita daripada memakan harta anak yatim.  Sebaliknya jika harta pusaka tersebut telah dibahagikan dan diambil dari perwaris yang sudah berhak mengurus hartanya sendiri, atau harta yang selain  dari pusaka simati misal nya duit gaji anak / waris simati sendiri, bukan merupakan wang harta pusaka, maka tiada halangan keharusannya mengadakan kenduri arwah dengan menggunakan harta yang begitu. والله اعلم